Tok Kenali juara Piala Dana Kasih KOWARA
ALOR GAJAH 13 November – Pasukan Tok Kenali muncul juara menewaskan pasukan Mat Saleh menerusi sepakan penalti 3-1 pada Karnival Kejohanan Bolasepak Piala Dana Kasih KOWARA di padang Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) semalam.
Kemenangan itu sekali gus menjulang pasukan Tok Kenali membawa pulang piala iringan, piala pusingan, medal dan hamper.
Karnival tersebut dianjurkan oleh Kelab Komuniti Wawasan Rantau Panjang (KOWARA).
Menurut Presiden KOWARA, Saiful Huzaime Ismail berkata karnival tersebut merupakan acara tahunan yang disertai oleh penduduk sekitar Rantau Panjang.
Katanya, sebanyak lapan pasukan yang terdiri daripada 85 peserta berentap pada karnival yang bermula seawal jam 8 pagi.
“Kelab Komuniti Wawasan Rantau Panjang (KOWARA) dahulu dikenali sebagai Kelab Komuniti Belia Veteran (KBV) namun ia diperluaskan kepada remaja seawal 15 tahun.
“Penganjuran karnival ini bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara generasi muda dan golongan berusia.
“Antara tujuan lain, kita tidak mahu golongan muda terjebak dengan masalah sosial yang ada kini, jadi kita anjurkan pelbagai aktiviti antaranya kejohanan ini.
“Tidak dilupa terima kasih kepada individu dan syarikat yang telah memberikan sumbangan berupa barangan atau wang ringgit bagi menjayakan karnival bola sepak ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, Saiful Huzaime turut memaklumkan perancangan KOWARA menjelang tahun hadapan.
Jelasnya, KOWARA turut mengambil kesempatan melaksanakan program-program bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Sempena TMM2024, KOWARA akan anjurkan larian amal ‘Green Forest Run’ dijangka pada bulan Februari atau Mac tahun hadapan.
“Kita sedang merangka untuk mencari lebih ramai ahli bagi memeriahkan lagi KOWARA,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.