Seronok amal gaya hidup sihat
PAYA RUMPUT 12 November – Minat terhadap aktiviti sukan sejak dua tahun lalu mendorong Nor Syahidah Samsuri, 37, menyertai program 3KM International Fun Walk sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, semalam.
Menurutnya, selepas diberitahu mengenai program itu daripada anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, dia tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti itu.
“Saya memang minat program begini sejak dua tahun lalu, anak-anak ramai, jadi bapa mereka jaga di rumah, sebab itu saya datang ke sini seorang sahaja.
“Biarpun tidak jauh hanya tiga kilometer, tetapi boleh mengeluarkan peluh, sedikit sebanyak ia membantu kesihatan kita.
“Selain mengamalkan gaya hidup sihat, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan ramai peserta dari dalam dan luar Melaka,” katanya yang bersyukur dapat menamatkan acara dalam masa 40 minit.
Terdahulu program yang diadakan di Stadium Hang Jebat, di sini, itu dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan turut dihadiri Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, Rozahiran Hamzah.
Sementara itu, peserta cilik, Putra Adam Ziyad, 7, berasa gembira kerana dapat menyertai program itu bersama kawan-kawan.
“Saya seronok dapat sertai program ini sebab boleh berjalan dan berlari bersama kawan, ini adalah kali keenam saya masuk program sebegini.
“Tiada sesiapa yang suruh saya masuk program ini, saya masuk kerana nak sihat dan jumpa kawan-kawan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.