‘Saya akan jaga amanah arwah sebaiknya’
DUYONG 11 November – Wanita ini tidak menyangka bahtera rumah tangga yang dibina lebih 10 tahun berakhir apabila suami yang menjadi tonggak keluarga pergi buat selamanya.
Dunia Nastasha Aidura Mohd Ezrin Singh, 33 bagaikan hitam seketika apabila dimaklumkan suaminya, Allahyarham Mohammad Hafiz Jamal@ Jamaludin, 38, terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia, bulan lalu.
Lebih memilukan, insiden tragis itu berlaku tatkala dia sedang berpantang anak kelima.
Menceritakan kisah itu, Natasha Aidura berkata, arwah suaminya yang bekerja sebagai Eksekutif Operasi di sebuah kelab rekreasi sukan di Klang, Selangor dan berulang-alik ke Melaka setiap hari terlibat kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja.
Walaupun kenyataan itu parit untuk ditelan, namun suri rumah itu bertekad untuk kembali kuat demi anak-anaknya yang masih kecil, termasuk tiga yang masih bersekolah.
“Tanpa arwah, saya perlu kuat dan belajar berdikari untuk anak-anak kerana mereka adalah amanah arwah yang perlu dijaga sebaiknya.
“Apa yang berlaku saya reda kerana saya tidak boleh berterusan bersedih atas apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Duyung Permai, di sini, semalam.
Terdahulu, Nastasha menerima ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Zulkifli Hanifah.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pihaknya akan berusaha membantu balu lima anak itu dalam meneruskan kehidupan.
Katanya, agensi berkaitan seperti JKM telah menyalurkan bantuan awal termasuk bantuan bulanan sebanyak RM850, manakala, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memberi bantuan bulanan makanan berjumlah RM250.
“Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menyerahkan khairat kematian berjumlah RM2,000 selain faedah pencen bulanan berjumlah RM3,480.
“Sekurang-kurangnya dengan bantuan ini ia dapat meringankan beban ibu lima anak ini selepas kehilangan ketua keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.