Maksud tersirat warna-warni kolam

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

JASIN 11 November – Bukan sekadar hiasan lantai sebaliknya corak dan pelbagai motif pada kolam yang popular setiap kali Deepavali menjelma memiliki makna tersirat bagi penganut agama Hindu.

Selain menceriakan suasana sambutan pesta cahaya, kolam pada kebiasaannya menggunakan beras warna-warni dipercayai mampu membawa keberkatan dalam kalangan masyarakat India.

Malah penggunaan beras sebagai bahan utama menghasilkan hiasan itu juga dianggap sebagai berkongsi rezeki bersama serangga dan burung yang berkeliaran di halaman rumah.

Photo1699582592
ANTARA kolam yang direka khas sempena perayaan Deepavali yang bakal tiba di Pasaraya MYDIN Jasin. Foto MR AZLI

Penggiat seni kolam, A Lela Devi, 43, berkata, mengikut kepercayaan kolam pada kebiasaannya dicorakkan dengan motif burung merak, pelita atau bunga yang tersirat kisah dan lagenda dalam kepercayaan agama Hindu.

“Merak adalah burung pengikut dewa, pelita pula cahaya yang dipasang masyarakat Hindu bagi meraikan kemenangan dewa selepas berjaya menewaskan pengganas dan membawa cahaya baharu dalam kehidupan.

“Kebiasaannya Kolam akan dibuat di halaman atau di pintu masuk rumah bagi memudahkan burung atau serangga untuk datang makan. Kalau dihias di depan rumah ia akan menjadi penyeri dan membawa keberkatan untuk tetamu serta dewa yang datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo1699583867
AHLI Jawatankuasa Persatuan Prihatin Masyarakat India Malaysia, A. Lela Devi di Pasaraya MYDIN Jasin. Foto MR AZLI

Katanya, pada zaman dahulu proses menghias kolam dilakukan oleh kaum wanita pada setiap hari terutama Jumaat atau tarikh kebesaran lain.

Menurutnya, selain menggunakan beras terdapat juga kolam Rangoli yang mana bahan asasnya adalah tepung beras yang diwarnakan.

“Bahan asas lain yang digunakan dalam pembuatan kolam adalah beras putih dan kolam serbuk pewarna.

“Namun peredaran zaman dan kesibukan dengan pelbagai urusan lain, sekarang kolam hanya dibuat pada hari-hari kebesaran sahaja seperti pada Perayaan Deepavali, Pesta Ponggal atau majlis perkahwinan.

“Kalau di India, mereka hari-hari akan buat Kolam di depan rumah sehinggakan hari ini ada kolam yang dimodenkan diubah dengan menggunakan cat dan serbuk,” katanya.

Photo1699582950
PELBAGAI jenis rekaan dalam pertandingan seni ‘Kolam’ sempena perayaan Deepavali yang bakal tiba di Pasaraya MYDIN Jasin. Foto MR AZLI

Bagi mengelakkan seni kolam dihakis dan dilupakan akibat arus pemodenan Lela yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Prihatin Masyarakat India Malaysia (PPMIM) aktif melaksanakan aktiviti bagi mempopularkan seni itu dalam kalangan golongan muda.

“Macam dulu kalau ada pertandingan kolam ia pasti meriah sebab satu kumpulan itu disertai lebih kurang 10 hingga 20 orang. Tetapi sekarang ini semangat itu semakin luntur dan dihakis arus kemodenan.

“Anak muda tidak melupakan seni ini, cuma mereka tidak berani untuk tampil kehadapan. Jadi kami di PPMIM akan cuba untuk pastikan tradisi ini tidak dilupakan.

“Bagi saya kolam bukan sekadar seni tetapi tradisi yang menjadi panduan, menyelamatkan hidup dan menjadi identiti kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2297
Kongsi :
Previous post Melaka tubuh jawatankuasa cantasan pokok
Next post ‘Saya akan jaga amanah arwah sebaiknya’
Ubah saiz-+=