TMM2024: Persediaan MBMB capai 90 peratus
AYER KEROH 10 November – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kini di fasa akhir dalam membuat persediaan dan persiapan bagi menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kini berbaki tidak sampai dua bulan sahaja lagi.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, dalam menjayakan TMM2024 beberapa kerja keceriaan sudah dijalankan pihaknya termasuk menanam pokok bunga warna-warni, pengindahan landskap serta pemasangan lampu hiasan.
“Boleh katakan persediaan dan persiapan yang kita lakukan bagi menyambut TMM2024 sudah hampir 90 peratus. Ini termasuklah dengan penanaman 3,000 pokok bunga warna-warni, pemasangan lampu hiasan dan juga pengindahan landskap.
“Untuk kerja-kerja pengindahan ini termasuklah landskap seluruh kawasan pentadbiran MBMB ia membabitkan kos kira-kira RM10 juta. Insya-Allah dengan segala yang kita laksanakan akan menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi yang meriah dan menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kerja naik taraf landskap dan penanaman pokok bunga di median tengah di Jalan Tun Abdul Razak-Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Menurutnya, perancangan yang dilaksanakan juga menawarkan persekitaran dan suasana lebih tenang serta mendamaikan buat orang ramai.
“Contoh landskap dipenuhi pokok warna-warni membangkitkan aura menyegarkan. Bunga sentiasa mekar tidak sama seperti bunga kertas yang berbunga mengikut musim.
“Pokok bunga ini juga kita akan tanam di beberapa lokasi lain termasuklah bawah jejantas berhampiran Masjid Al-Azim.
“Begitu juga dengan pemasangan lampu hiasan, membangkitkan suasana menarik pad awaktu malam, antara lokasi sudah dilengkapi kemudahan itu adalah Air Terjun Bukit Sebukor dan jejantas Cheng, alhamdulillah ia mendapat reaksi positif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.