Deepavali: 36 pelajar susah dapat baju raya
BANDA HILIR 8 November – Deepavali tahun ini lebih bermakna buat 36 murid dan pelajar berbangsa India di negeri ini apabila mereka menerima sumbangan baju raya hasil sumbangan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam.
Kesemua mereka merupakan pelajar dalam kalangan keluarga B40 daripada enam buah sekolah di seluruh negeri ini.
Shanmugam berkata, program sumbangan baju raya itu merupakan edisi ke-10 dianjurkan pihaknya setiap kali menjelang perayaan Deepavali.
Menariknya, beliau berkata, kesemua penerima sumbangan itu boleh memilih baju dan warna kesukaan mereka tanpa menetapkan sebarang had harga, bertujuan mengukir senyuman di wajah anak-anak itu.
“Setiap tahun, kita akan bekerjasama dengan guru-guru sekolah bagi memilih anak-anak dalam kalangan keluarga kurang mampu dan kita akan bawa mereka sendiri ke kedai pakaian untuk memilih baju yang mereka suka.
“Bagi saya, apa jua sumbangan perlulah ikhlas dan sebab itu kita tidak meletak sebarang harga atau peruntukan tertentu untuk menggembirakan anak-anak ini.
“Itulah yang kita lakukan sejak 10 tahun dahulu dan kita mahu pastikan menjelang Deepavali ini, nasib pelajar seperti ini tidak dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan baju raya kepada pelajar kurang berkemampuan di sebuah gedung beli-belah, di Little India, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin.
Dalam pada itu, Shanmugam memaklumkan pihaknya akan menganjurkan Rumah Terbuka Deepavali peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Katanya, rumah terbuka itu bakal menjadi kesinambungan Jamuan Deepavali Bersama Ketua Menteri yang diadakan di Padang Nyiru, 31 Oktober lalu, dalam usaha menambah seri sambutan Pesta Cahaya tahun ini.
“Untuk rumah terbuka itu nanti, kita sasarkan 3,000 hingga 4,000 pengunjung yang mana ia bukan hanya membabitkan masyarakat India, bahkan masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.