Sebak rumah berwajah baharu
PAYA RUMPUT 7 November – “Syukur Alhamdulillah sebab ada juga pihak yang ambil tahu pasal keluarga saya kerana bagi saya tiada siapa yang mahu ambil tahu tentang kepayahan kami, kata Siti Azlina Sulaiman @ Mohamed.
Siti Azlina, 42 yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menetap bersama suami, Kamarulzaman Songsang,56 dan seorang anaknya di rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapanya di Jalan Tanah Merah, Krubong 27 tahun lalu.
Katanya, berkhidmat sebagai anggota pasukan itu lebih 20 tahun lalu rumah pusaka itu menyimpan banyak kenangan bersama ibu dan bapanya yang banyak membina sendiri kediaman itu.
“Saya bersyukur kepada Allah, rumah yang dahulunya pernah dibanjiri air hujan akibat kebocoran atap dibaiki oleh semua pihak terutama di atas keprihatinan RELA,” katanya.
Katanya, meskipun berdepan dengan pelbagai kerosakan seperti kebocoran bumbung dia tetap gigih bersama suaminya berkhidmat sebagai anggota RELA demi menyara kehidupan keluarga.
“Saya berkhidmat sejak RELA dikenali sebagai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dahulu dan sehingga hari ini biarpun ada yang cakap buruk pasal bekerja dalam bidang ini tidak ke mana tapi saya tetap bekerja kerana itu rezeki saya, kalau saya tidak berusaha macam mana saya hendak dapatkan hasil.
“Banyak cabaran saya menghadapi dalam keadaan rumah ini sebelum ini saya tetap harungi biarpun kadangkala berdepan stap bocor sehinggakan air membanjiri ruangan rumah tapi hakikatnya saya kena bersabar kerana Allah itu maha mengetahui.
“Saya cukup bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh dalam kalangan keluarga anggota Rela itu sendiri sebab saya selagi ada kudrat untuk bekerja saya tetap teruskan kerana saya segan untuk meminta bantuan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Siti Azlina merupakan antara tujuh penerima dalam kalangan anggota RELA di negeri ini terpilih menerima sumbangan pembaikan rumah menerusi program i-Care4u Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka.
Menerusi program diadakan di kediaman keluarga itu turut disantuni oleh Pengarah PPN Melaka, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Megat Azlani Megat Ramli serta Pengarah RELA Negeri Melaka, Farhana Liyana Hassim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.