Lima individu curi kabel telekomunikasi di Jasin ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 6 November – Lima individu termasuk dua wanita ditahan di beberapa lokasi berasingan selepas terbabit dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di Sungai Rambai, Jasin semalam.

Dalam penahanan bermula jam 6.45 petang itu, tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 37 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur dan Johor itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di Sungai Rambai dan Tangkak serta Muar, Johor.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata pihaknya menerima laporan daripada kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi memaklumkan kabel fiber syarikat telekomunikasi berkenaan putus di Jalan Parit Penghulu Sungai Ramai yang dianggarkan sepanjang 250 meter dengan anggaran nilai berjumlah RM8,200 pada jam 1.48 pagi.

Katanya, bertindak atas laporan itu pihaknya menjalankan siasatan sebelum menahan dua suspek pertama, seorang lelaki dan wanita di Jalan Parit Penghulu, Sungai Rambai pada jam 6.45 petang hari sama.

“Suspek kedua iaitu seorang lelaki ditahan di Tangkak, Johor pada jam 8.30 malam manakala dua lagi suspek, seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di Muar, Johor kira-kira dua jam kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam semua serbuan berkenaan, pihaknya merampas pemotong besi dipercayai digunakan untuk memotong kabel terbabit, beberapa gelung kabel serta dua kereta beserta anak kunci.

“Siasatan lanjut mendapati kabel syarikat telekomunikasi itu dipotong dengan memanjat tiang sebelum memotong menggunakan peralatan tajam dan aktiviti dilakukan pada waktu malam berikutan keadaan lokasi agak sunyi,” katanya.

Zainol berkata, semua suspek tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, permohonan reman ke atas semua suspek dijangka diperolehi hari ini di Mahkamah Jasin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2033
Kongsi :
Previous post Banjir: Selangor buka dua lagi PPS, Perak kekal empat
Next post Terima kasih ceriakan Deepavali kami
Ubah saiz-+=