Melaka FC belum ‘terkubur’
AYER KEROH 4 November – Kelab Bolasepak Melaka (Melaka FC) mengesahkan akan terus beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan, sekali gus menepis spekulasi kelab itu sudah ‘terkubur’.
Pemilik Melaka FC Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, meskipun musim lalu mereka sekadar menduduki tangga ke-10 daripada 13 pasukan bertanding, namun pihaknya berhasrat membuka lembaran baharu demi memartabatkan kembali kegemilangan bola sepak Negeri Melaka.
Justeru, katanya, persiapan awal akan dilakukan dalam usaha merekrut pemain terbaik dan jurulatih berkualiti untuk membimbing pasukan.
“Buat masa ini, ada tiga jurulatih luar Melaka berminat untuk membimbing pasukan dan kita sedang berunding dari segi gaji, selain meneliti yang terbaik untuk pasukan.
“Kita akan memilih jurulatih tempatan bagi saingan akan datang kerana tidak mahu lagi dikecewakan dengan jurulatih import seperti musim lalu yang indah khabar dari rupa hingga kita terpaksa menamatkan kontraknya lebih awal dan menggantikan dengan jurulatih tempatan.
“Dari segi pemain, kita akan menjadikan kejohanan Liga Bola Sepak Governor Cup sebagai medan memilih pemain terbaik yang mana untuk setiap perlawanan bermula 11 November hingga 1 Januari tahun depan akan ada jurulatih atau pemerhati yang akan menilai bakat-bakat baharu untuk menyarung jersi Melaka FC,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam ‘Governor Cup’ Edisi Kedua Tahun 2023 dan Liga Bola Jaring Piala Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Binti Haji Abd Rahman Edisi Pertama 2023 di Taman Seribu Bunga, di sini, malam tadi.
Terdahulu, lafaz perasmian kejohanan tersebut telah disempurnakan Tun Mohd Ali dan turut dihadiri Toh Puan Asmah.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Wira Hamidin Mohd Amin dan lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, bagi saingan musim 2023, Melaka FC tidak berdepan sebarang isu gaji selepas segala pembayaran gaji dan sebagainya telah diselesaikan sebelum tamat kontrak.
Jelas beliau, untuk musim 2024, pihaknya memperuntukkan sekitar RM1.8 juta untuk pasukan dalam misi menaikkan kembali nama bola sepak Negeri Melaka.
“Walaupun prestasi sebelum ini tidak begitu memuaskan, namun dengan kewangan yang ada, kita akan tetap berusaha mempersiapkan pasukan yang terbaik dari segi prestasi dan kualiti permainan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.