Sorting by

×

Angkara pasang muzik kuat, warga Myanmar dikelar rakan senegara

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PANTAI KUNDOR 3 November – Seorang lelaki warga Myanmar berusia 28 tahun cedera di leher akibat dikelar rakan senegaranya dalam pergaduhan di sebuah hostel kilang di Pantai Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai penyelia hostel berusia 49 tahun pada jam 3 petang.

Katanya, pengadu mendakwa tiga pekerjanya terlibat dalam pergaduhan dalam salah sebuah bilik di hostel berkenaan.

“Berdasarkan laporan, pengadu melihat salah seorang pekerjanya iaitu suspek berusia 28 tahun memegang pisau manakala mangsa berusia 35 tahun mengalami pendarahan di leher.

“Seorang lagi pekerjanya cuba meleraikan pergaduhan tersebut dan merampas pisau pemotong sayur dipegang suspek dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Christopher berkata berikutan kejadian itu, pengadu membawa mangsa ke sebuah klinik di Tangga Batu untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Katanya, polis menahan suspek di lokasi kejadian pada jam 6.50 petang hari yang sama dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berlaku selepas suspek yang mabuk berang mangsa memasang muzik terlalu kuat sehingga mengganggu tidurnya.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1161
Kongsi :
Previous post Kesedaran rakyat Melaka berwakaf meningkat
Next post Dr. Massila dinobat Tokoh Akademik UTeM 2022
Ubah saiz-+=