Kenal pasti harta wakaf berpotensi dimajukan – KM
BUKIT BARU 3 November – Pelan Induk Pembangunan Harta Wakaf diwujudkan bagi menjadikan pengurusan wakaf lebih komprehensif, sekali gus memaksimumkan mobilisasi aset pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif dilaksanakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu secara tidak langsung membantu MAIM mengenal pasti dan merancang program-program pembangunan harta wakaf yang berpotensi tinggi bagi dimajukan.
Ketua Menteri berkata, antara pembangunan harta wakaf yang berjaya dilaksanakan MAIM adalah pembinaan Kompleks Al-Ehsan di Tengkera sebagai penempatan asnaf zakat, pembinaan Hotel Wakaf di Pantai Puteri dengan usahasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).
“Pelaksanaan juga membabitkan pembinaan Wakaf Mart di Tanjung Minyak, Bazar Wakaf di Pulau Besar dan pembinaan Dewan Utama Masjid Kampung Hulu melalui kaedah Istibdal.
“Justeru, pengurusan berkaitan wakaf perlu ditadbir urus secara profesional, amanah, cekap dan telus oleh pengurusan yang dilantik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup sempena Sambutan Bulan Wakaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023M di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Hadir sama Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo; Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim dan Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud.
Ab Rauf berkata, MAIM juga melancarkan portal, i-waqaf.maim.gov.my bagi memudahkan lagi umat Islam bukan sahaja di Melaka, malah seluruh negara untuk berwakaf secara tunai kepada dana wakaf negeri ini.
“Hasil kutipan dana wakaf akan disalurkan untuk pembangunan, perubatan, pendidikan, pengambilan atau pembelian tanah bagi pembinaan tapak masjid dan pembangunan berkaitan keagamaan yang lain,” katanya.
Ends//
wakaf 1- RAHMAD bergambar bersama peserta yang hadir pada majlis berkenaan.
wakaf 2- RAHMAD bergambar bersama para peserta yang menyertai Kuiz Wakaf Atas Talian.
wakaf 3- SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada majlis itu.
wakaf 4- RAHMAD menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta kuiz wakaf berkenaan
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.