Pelihara sumber laut
JASIN 7 Nov. – Sejumlah dua juta benih ikan dan udang telah dilepaskan ke perairan negeri ini dalam usaha memperkayakan stok dan memelihara sumber laut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh 2003 sehingga 2020 bagi membantu pertambahan sumber pada masa akan datang.
“Program pelepasan benih ikan dan udang diadakan setiap tahun oleh Jabatan Perikanan yang mana benih ini akan dilepaskan ke perairan umum.
“Pelepasan benih ini secara tidak langsung dapat membantu menambahkan pendapatan nelayan darat selain saya percaya jumlah ini masih tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pelepasan Benih Udang Galah ke Perairan Umum dan Penyerahan Kad Pendaftaran Nelayan Sungai Negeri Melaka, di Sungai Rambai, hari ini.
Ahmad berkata, penduduk setempat dan nelayan perlu membantu pihak berkaitan dalam memelihara sungai agar tidak tercemar dengan melaporkan sebarang aktiviti tidak bertanggungjawab.
“Saya berharap supaya nelayan dan penduduk dapat bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat aktiviti melepaskan ikan asli sungai, meracun serta menuba,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam meningkatkan sumber ekonomi nelayan setempat dan memulihkan kawasan pembiakan semula jadi kerang, program menabur benih kerang turut akan diadakan.
“Dijangkakan program ini akan diadakan pada 16 November yang mana sebanyak 2.8 tan benih kerang akan ditaburkan di Perairan Sebatu,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 25,000 benih udang galah dilepaskan ke perairan umum Sungai Kesang selain 50,000 benih ikan puyu disumbangkan.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Norhizam Hassan Baktee; Pengarah Perikanan negeri Mohd Fauzi Salehon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman