Belanjawan 2021: Perkasakan sektor pertanian

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

JASIN 7 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yakin peruntukan yang diterima menerusi Belanjawan 2021 akan memperkasakan lagi sumbangan sektor pertanian kepada negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jumlah peruntukan itu antara yang tinggi diterima dan percaya akan meningkatkan lagi pengeluaran di sektor itu.

“Keprihatinan kerajaan dalam sektor ini akan mendorong mereka yang terbabit antaranya petani, penternak dan pesawah berusaha meningkatkan pendapatan dalam sektor ini.

“Untuk tahun hadapan sektor pertanian diunjurkan terus berkembang kepada 4.7 peratus daripada kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelepasan Benih Udang Galah Ke Perairan Umum serta Penyerahan Kad Pendaftaran Nelayan Sungai Negeri Melaka, di Laman Belia, Sungai Rambai.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Norhizam Hassan Baktee; Pengarah Perikanan negeri Mohd Fauzi Salehon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman

Ahmad berkata, RM 1.7 bilion diperuntukkan termasuk RM570 juta untuk subsidi harga padi, RM960 juta subsidi dan insentif tanaman padi serta RM40 juta untuk subsidi baja padi bukit.

“Bagi nelayan pula RM151 juta diperuntukkan bagi peningkatan elaun sara hidup daripada RM250 kepada RM300.

“Selain itu sebanyak RM782 juta disediakan sebagai pemberian kepada badan berkanun di bawah kementerian,” katanya.

Views:

580
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir lumpur terima sumbangan kecemasan
Next post Disangka bau najis binatang rupanya…
Ubah saiz-+=