Mangsa banjir lumpur terima sumbangan kecemasan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Nov. – Sehari selepas kediaman mereka dilanda banjir lumpur, sembilan pemilik rumah di Taman Bidara Jaya, di sini menerima sumbangan kecemasan daripada pemaju perumahan.

Bantuan RM400 setiap pemilik itu membolehkan mereka membeli barangan dapur yang rosak akibat dilanda banjir lumpur.

Mangsa, Sukri Rashid, 45, berkata, beliau bersyukur menerima sumbangan berkenaan, walaupun kerosakan perabot dan peralatan elektrik hakikatnya tidak mampu dibiayai dengan sumbangan sebanyak itu.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara kerana berusaha mendapatkan sumbangan itu daripada pemaju,” katanya.

HUJAN lebat menyebabkan tapak pembinaan perumahan gagal menampung air dan mengakibatkan tembok runtuh di Taman Bidara Jaya, Masjid Tanah.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Azizan Daud di pejabat Japerun Tanjung Bidara, di sini hari ini.

Rosli Ujang, 57, berkata antara perabot yang rosak ialah katil, sofa dan almari perhiasan akibat dinaiki air dan lumpur setinggi kira-kira 0.5 meter dan ia tidak mampu dibayar dengan sumbangan RM400 itu.

“Saya dan mangsa yang lain akan mengemukakan gambar perabot dan peralatan elektrik yang rosak untuk mendapatkan ganti rugi yang lain selepas ini kerana sumbangan RM400 itu tidak cukup,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud berkata, semua mangsa sudah membuat laporan polis mengenai kejadian awal pagi semalam bagi menuntut pampasan daripada pemaju.

“InsyaAllah Japerun juga akan memberikan sumbangan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi semalam, deretan sembilan unit rumah dilanda banjir lumpur selepas tembok dibina pemaju perumahan berhampiran kediaman mereka, runtuh akibat hujan lebat.

Ia turut menyebabkan van Sukri rosak teruk akibat ditimpa batu dan tanah.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Kebanyakan mangsa terkejut apabila terdengar bunyi kuat dari belakang rumah dan apabila keluar, mereka mendapati banjir lumpur sudah masuk ke dalam dapur kediaman.

Hujan lebat menyebabkan kawasan pembinaan yang hanya kira-kira lima meter dari kediaman mereka tidak mampu menampung aliran alir, lalu menyebabkan tembok setinggi kira-kira dua meter itu runtuh.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Maut bertembung lori
Next post Belanjawan 2021: Perkasakan sektor pertanian
Ubah saiz-+=