SKM Melaka komited tingkat koperasi baharu
AYER KEROH 29 Oktober – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka giat menjalankan usaha dalam menambah bilangan koperasi baharu di negeri ini.
Pengarah SKM Melaka, Mohd Firdaus Shaari berkata, pada ketika ini di Melaka terdapat sebanyak 469 koperasi yang berdaftar dengan keseluruhan koperator seramai 100,70 orang.
“Daripada jumlah itu 70 peratus adalah koperasi yang aktif manakala 30 peratus lagi adalah sebaliknya. Oleh itu SKM Melaka kini, kita dari semasa ke semasa cuba tingkatkan bilangan koperasi yang baharu.
“Usaha untuk menambah bilangan koperasi menunjukkan reaksi positif apabila sepanjang tahun ini kita berjaya mendaftar kira-kira 30 koperasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Coop Walk yang turut disertai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya Tuminah Kadi, di Taman Botanikal Ayer Keroh, hari ini.
Mohd Firdaus berkata, koperasi sekolah di Melaka juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan pendapatan yang diperoleh serta aktiviti dijalankan.
“Sehingga Oktober tahun ini, di seluruh Melaka terdapat 85 koperasi sekolah dan kesemuanya berstatus aktif selain merekodkan pendapatan yang lumayan.
“Justeru itu saya menyarankan agar lebih banyak koperasi sekolah dapat berdaftar dengan SKM. Melalui koperasi ia secara tidak langsung dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Menurutnya juga, menerusi Program Young Entrepreneurs Strive for Success (YESS) 2023 yang diadakan baru-baru ini, koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong dinobatkan sebagai juara dan akan mewakili negeri Melaka ke peringkat kebangsaan pada November ini.
Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, pihaknya akan mengadakan Malam Apresiasi Koperasi Negeri Melaka 2023 yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang akan membabitkan kira-kira 200 koperator dengan 14 anugerah bakal disampaikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.