Sorting by

×

Berbusana pahlawan berhujan demi sukan sunnah

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER LIMAU 29 Oktober – Cuaca hujan renyai hampir tiga jam bukan penghalang buat kira-kira 100 peserta berentap pada Pertandingan Memanah Tradisional Piala Datuk Hameed M.K. Basheer.

Pertandingan berlangsung di Padang Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar, di sini, semalam membabitkan kategori cilik, remaja, lelaki dan wanita dewasa terbuka.

Meskipun cuaca mendung dan hujan renyai sejak 12.30 tengah hari ia tidak mematahkan semangat peserta kategori lelaki dan wanita untuk menunjukkan kehandalan mereka membidik busur ke sasaran.

Secara keseluruhan pertandingan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta perseorangan atau yang mewakili persatuan.

Bertanjak, bercekak kepala, berbusana persis pahlawan Melayu antara pilihan pakaian yang dikenakan peserta ketika berentap merebut gelaran juara.

Seorang peserta, Mohd Faizal Othman, 46, berkata, sukan memanah adalah hobinya sejak beberapa tahun yang lalu dan minat itu dikongsi bersama kakak sulungnya, Aisha othman, 62.

Dia kerap mengambil bahagian dalam pertandingan memanah yang dianjurkan dengan kekerapan hampir setiap bulan di Melaka atau negeri yang lain.

Whatsapp Image 2023 10 28 At 6.44.33 Pm

MOHD Faizal berbusana pahlawan Melayu memberikan tumpuan penuh ke sasaran sebelum melepaskan busur.

Mohd Faizal berkata, pada aksi kali ini dia memilih pakaian warna merah gelap dengan bertanjak bertujuan menaikkan semangatnya sepanjang pertandingan itu.

Berasal dari Batu Berendam, Mohd Faizal berkata, setiap kali mengambil bahagian dalam pertandingan mengenakan busana seperti pahlawah Melayu adalah satu kemestian bagi dirinya.

“Ini semata-mata untuk menaikkan semangat, untuk sukan memanah kena ada set penuh pakaian tradisional, ia sama macam silat yang ada set tersendiri, begitu juga kami pemanah.

“Alhamdulillah kali ini saingan begitu sengit, hujan menambah lagi cabaran, tetapi pemanah perlu kental,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu program diadakan itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mhyteen Kunju Basheer.

Pertandingan Memanah Tradisional Piala Datuk Hameed M.K. Basheer dianjurkan dengan kerjasama Kelab Memanah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ramuan China Besar telah disertai kira-kira 200 pemanah seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal yang juga ahli Kelab Memanah Warisan Sunnah Terendak (KMWST) berkata, sukan memanah semakin berkembang dalam kalangan anak muda dan kanak-kanak.

Menurutnya, kanak-kanak semakin meminati sukan berkenaan dan dia melihat potensi memanah untuk dikembangkan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sekarang kita lihat peserta cilik semakin ramai dan ini peluang untuk cungkil bakat baharu anak-anak, ia tidak susah cuma kita beri mereka peluang dan rasai keseronokan memanah.

“Namun pemanah perlu kuat mental dan fizikal, setiap kali menarik busuk umpama mengangkat beban antara 15 ke 16 kilogram.

“Kalau anak-anak yang boleh tarik dengan elok Alhamdulillah, sebab tidak susah namun perlu ada latihan dan minat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1585
Kongsi :
Previous post Perluas program selawat dan qasidah di seluruh Parlimen
Next post Duyong johan keseluruhan Sukan Melaka 2023
Ubah saiz-+=