Sorting by

×

Penjagaan alam sekitar perlu jadi budaya di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

MERLIMAU 29 Oktober – Penjagaan alam sekitar secara kendiri atau ‘Guided Self Regulation’ (GSR) menjadi antara misi yang sedang dibawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Negeri Melaka.

Pengarah JAS Melaka Rosli Mustafa berkata, GSR merupakan antara pendekatan mengurus alam sekitar secara lebih baik, dalam jangka masa panjang dan secara berterusan.

Katanya, melalui pendekatan itu, semua pihak, khususnya pihak industri dikehendaki melaksanakan perkara-perkara yang telah ditetapkan berdasarkan garis panduan yang telah disediakan ke arah pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Selain GSR, katanya, JAS Negeri Melaka turut memberi fokus terhadap isu pembakaran terbuka yang perlu dikekang secara serius di negeri ini.

Ia memandangkan setakat 27 Oktober tahun ini, sebanyak 570 aduan pembakaran terbuka telah diterima pihaknya.

“Oleh itu, JAS telah bekerjasama dengan semua Japerun di Negeri Melaka untuk menyampaikan kesedaran kepada orang ramai di negeri Melaka mengenai Larangan Pembakaran Terbuka.

“Menerusi inisiatif ini, JAS telah menyerahkan poster, kain rentang dan pamplet Larangan Pembakaran Terbuka kepada wakil Japerun yang hadir untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka di Politeknik Merlimau Melaka, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis perasmian sambutan itu telah disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) Ismail Hasim dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Ab Mutalib.

Tambah Rosli, JAS Melaka turut memberi penekanan terhadap perlindungan lapisan ozon kepada masyarakat di negeri ini.

Katanya, satu seminar Perlindungan Lapisan Ozon, sempena hari Ozon Sedunia telah diadakan pada 16 Oktober lalu, membabitkan mereka yang terlibat dalam penggunaan bahan ‘refrigerant’ seperti pengusaha servis pendingin hawa, pihak industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan.

“Sambutan Hari Ozon ini mengingatkan kita akan hubungan yang kompleks di antara lapisan ozon dan perubahan iklim.

“Dengan tindakan yang tepat, insya-Allah, kita dapat bersama-sama melindungi lapisan ozon dan seterusnya mengurangi impak perubahan iklim, dalam kita menjaga bumi untuk generasi yang akan mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1160
Kongsi :
Previous post Duyong johan keseluruhan Sukan Melaka 2023
Next post Lebih 5,000 hadir Himpunan Satu Juta Pembela Palestin di Melaka
Ubah saiz-+=