Unifi Business bantu lahirkan usahawan digital

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 28 Oktober – Unifi Business Melaka merangka program bersama Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendigitalan perniagaan dan membantu usahawan mikro di negeri ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan berkata usaha itu merupakan antara intipati yang dibawa ketika mengadakan perjumpaan bersama Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin, baru-baru ini.

Menurut kenyataan berkenaan, program bersama Kerajaan Negeri itu akan dijalankan secara berperingkat dalam lima fasa yang mana tumpuan akan diberikan kepada usahawan dalam sektor pelancongan.

“Ini termasuklah memberi fokus kepada usahawan pasar malam yang berpotensi menjadi tumpuan pelancong, selain usahawan dari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi menjana ekonomi Negeri Melaka.

“Cadangan program ini juga akan memberi latihan sokongan secara berterusan kepada usahawan untuk meneroka era digital seperti penjenamaan, penulisan kreatif, rekaan grafik, jualan langsung di platform digital dan pendigitalan perniagaan secara percuma dalam usahasama Unifi Business dan Kerajaan Negeri,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Unifi Business turut memberi tumpuan kepada usahawan mikro Negeri Melaka dengan menawarkan Geran Digital PMKS Madani bernilai sehingga RM5,000.

Selain itu, Unifi Business juga komited untuk membantu PMKS memperkukuh perniagaan dan keupayaan kepimpinan mereka dengan bertindak sebagai rakan kongsi digital pilihan kepada 400,000 usahawan seluruh negara.

“Telekom Malaysia (TM) menyokong keterlihatan pasaran, pertumbuhan dan keupayaan digital mereka (usahawan) melalui perkhidmatan dan penyelesaian kami dengan 600 Perunding Perniagaan Unifi di seluruh negara, di mana lebih 100 daripadanya diperakui dengan Pensijilan Antarabangsa Literasi Digital (ICDL),” tambah kenyataan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

854
Kongsi :
Previous post Fazil Group tawar 200 jawatan bergaji serendah RM4,000 buat anak Melaka
Next post Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat kes bunuh
Ubah saiz-+=