Tawar kepakaran TVET berkaitan nuklear
BANDARAYA MELAKA 28 Oktober – Kursus baharu berkaitan teknologi nuklear dicadangkan untuk ditawarkan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kursus baharu itu mampu melahirkan tenaga kerja memiliki ‘soft skills’ serta kapasiti intelek mengenai teknologi nuklear.
Katanya, perbincangan lanjut mengenai kursus tersebut akan diperhalusi bersama pihak terbabit seperti Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Fairul Nizam berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan, namun belum dihuraikan secara lebih menyeluruh.
“Kita minta Agensi Nuklear Malaysia bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC), sekali gus melahirkan tenaga kerja dalam kalangan anak Melaka yang memiliki kemahiran tinggi ini.
“Bidang teknologi nuklear ini turut menjanjikan kebolehpasaran pada masa hadapan, selain dapat memberi pulangan yang lumayan. Jika kursus ini ditawarkan saya harap anak Melaka rebut peluang yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Promosi Bersasar (Technology Preview and Showcase- TPS) Siri 3 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr.Rosli Darmawan dan Pengarah Bahagian Pengkomersilan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rasif Mohd Zain.
Jelasnya pada program itu sebanyak 21 pusat khidmat di bawah Agensi Nuklear Malaysia mempamerkan produk dan kajian berteraskan teknologi nuklear yang dijalankan dalam pelbagai sektor.
Menurutnya, antara 21 pusat khidmat tersebut adalah Pusat Kecemerlangan Nuklear (CoNE), Makmal Teknologi Sinaran, Pusat Khidmat Bekalan Radioisotop, Non-Ionizing Radiation, Loji Alurtron, Radiokimia dan Alam Sekitar.
“Setiap pusat khidmat ini turut melatih tenaga kerja dalam bidang berkaitan teknologi nuklear menerusi pelbagai program dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.