UTeM peruntuk biasiswa kesidang RM10 juta untuk pelajar tempatan dan negara bergolak
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata biasiswa berkenaan melibatkan pembiayaan yuran pengajian bagi program peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) telah bermula pada sesi pengambilan pelajar baharu 2023/2024 pada awal Oktober lepas.
“Biasiswa Kesidang merupakan peruntukan dalaman daripada UTeM sendiri sebagai satu daripada inisiatif untuk membantu rakyat tempatan dan luar negara yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran di UTeM atas dasar kemanusiaan seperti warga Palestin.
“Sebagai contoh, sehingga kini kami telah menerima dua permohonan daripada warga Palestin untuk mendapatkan Biasiswa Kesidang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi biasiswa berkenaan peruntukan pembiayaan yuran antara RM35,000 hingga RM45,000 ditawarkan kepada setiap pelajar bergantung kepada peringkat pengajian mereka.
Katanya selain itu, pelajar yang menerima biasiswa berkenaan turut dialu-alukan berkhidmat di UTeM setelah tamat pengajian mereka bergantung kepada kekosongan permohonan yang ditawarkan.
Sementara itu, Massila berkata Program Anak Emas UTeM di bawah Yayasan Canselor UTeM turut ditawarkan kepada pelajar yang layak bagi menggalakkan kemasukan pelajar ke universiti awam itu.
Beliau berkata menerusi program itu, yuran pengajian pelajar terbabit akan dibiayai selain turut menerima duit poket sepanjang pengajian mereka.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.