Sorting by

×

Fasiliti untuk rakyat rancak dibangunkan di Duyong

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DUYONG 26 Oktober – Pembangunan pelbagai kemudahan dan fasiliti buat masyarakat sedang rancak dibangunkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Berkongsi berita gembira itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata antara projek yang sedang dalam pembangunan adalah membabitkan fasiliti untuk belia dan pelajar.

Menurut beliau, fasiliti tersebut ialah gelanggang futsal di Semabok Jaya yang sedang dinaik taraf dan pembinaan dewan terbuka di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong.

Katanya, antara projek lain seperti pembinaan dewan terbuka di Kampung Bukit Godek dan pembangunan trek joging di Semabok Perdana.

“Projek-projek ini ada yang sudah melalui proses tender, pelantikan kontraktor yang mana kita jangkakan akan siap sepenuhnya pada hujung tahun atau selewat-lewatnya Februari tahun hadapan.

“Memang tiada pembangunan baharu di Duyong kerana fokus saya ketika ini adalah untuk melaksanakan janji-janji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Kita Madani, di sini,baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy turut memaklumkan peluang pekerjaan untuk warga Duyong turut menjadi fokusnya selepas menjadi wakil rakyat.

Katanya, hasil pembukaan pelbagai sektor ekonomi, antaranya sebuah pasar raya baharu yang akan dibuka penghujung bulan depan, ia secara tidak langsung telah memberi tempias kepada penduduk DUN berkenaan mendapatkan pekerjaan.

“Selain membantu membuka peluang pekerjaan kepada warga Duyong, saya juga sedang mengusahakan untuk ketengahkan industri hiliran yang terdapat di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1154
Kongsi :
Previous post APM Melaka terima tambahan sukarelawan, siap sedia hadapi Monsun Timur Laut
Next post Johan futsal dapat hadiah kambing
Ubah saiz-+=