9,976 petugas kesihatan berkhidmat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 1 Ogos – Seramai 9,976 tenaga kerja kesihatan telah bertugas di Negeri Melaka setakat 30 Jun 2023, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 8,634 adalah petugas berstatus tetap, manakala 1,342 lagi berstatus kontrak.

Jelasnya, jumlah petugas kesihatan di Hospital Melaka adalah yang tertinggi direkodkan iaitu seramai 3,603 petugas tetap dan 628 petugas kontrak.

“Ia diikuti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah dengan 1,405 petugas tetap dan 191 kontrak; PKD Alor Gajah (907 tetap, 99 kontrak) dan PKD Jasin (687 tetap, 88 kontrak).

“Seterusnya, seramai 533 petugas tetap dan 60 kontrak di Hospital Alor Gajah; Hospital Jasin (417 tetap, 57 kontrak); Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (346 tetap, sembilan kontrak) dan petugas pergigian daerah 376 petugas tetap dan 210 kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) pada hari kedua Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri bercadang membina sebuah hospital baharu bagi menangani kesesakan Hospital Melaka, Hee Sem tidak menolak perkara itu akan dimohon pada masa akan datang.

Namun, katanya, dalam masa terdekat, pihaknya lebih menumpukan kepada kerja naik taraf fasiliti sedia ada.

Katanya, secara keseluruhan lebih RM808 juta diterima negeri ini bagi penambahbaikan infrastruktur sedia ada dengan peruntukan terbesar ialah berjumlah RM700 juta iaitu bagi pembinaan blok hospital wanita dan kanak-kanak di Hospital Melaka.

“Selain itu, Hospital Alor Gajah turut menerima peruntukan RM17 juta untuk menaik taraf dewan bedah kedua, selain peruntukan bagi menaik taraf beberapa jabatan lagi di Hospital Melaka.

“Peruntukan itu juga turut membabitkan kemudahan awam hospital seperti bekalan air, sistem perpaipan dan lif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3159
Kongsi :
Previous post Bantu golongan B40 berniaga – Exco
Next post 386 pemohon layak terima bantuan IPR
Ubah saiz-+=