98 peratus aduan rakyat selesai – KM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 24 November – Hasil kecekapan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri sebanyak 98 peratus atau 11,385 aduan diterima dari Januari hingga 3 November lalu berjaya diselesaikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, secara keseluruhan bagi tempoh berkenaan sebanyak 11,667 aduan diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA).

“Daripada jumlah itu sebanyak 8,774 pelbagai jenis aduan berjaya diselesaikan oleh keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

“Tahniah kepada PBT yang sentiasa cemerlang dalam menjalankan tanggungjawab, pencapaian ini melambangkan kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh penjawat awam di Melaka bagi menyelesaikan aduan-aduan rakyat mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan November 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri berkata, sepanjang tahun 2023 ini keempat-empat PBT di negeri Melaka telah meraih pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Setiap PBT perlu sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, berkualiti dan efisien kepada masyarakat yang berada di dalam kawasan pentadbiran masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

885
Kongsi :
Previous post MIB mudahkan urusan pelabur – KM
Next post Siap siaga hadapi kemungkinan bencana – KM
Ubah saiz-+=