Sorting by

×

97 PREMIS MAKANAN MELAKA DIIKTIRAF BERSIH, SELAMAT

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Disember – Sebanyak 97 premis makanan di negeri ini telah menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempih Januari hingga 5 Disember tahun ini.

Ia membabitkan sebanyak 22 kantin sekolah dan 75 premis makanan di seluruh Negeri Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pengiktirafan itu diberikan sebagai galakan kepada pengusaha premis makanan di negeri ini agar mengutamakan penyediaan makanan selamat dan sentiasa mengekalkan persekitaran premis yang bersih kepada pelanggan.

Jelas beliau, pengiktirafan BeSS layak dimohon oleh premis-premis makanan yang mendapat rating pemeriksaan 86 peratus dan keatas, sebelum penilaian dibuat KKM.

Menurut beliau, bagi mendapatkan pengiktirafan itu juga, kesemua premis makanan haruslah memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan iaitu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), premis makanan berdaftar dalam sistem FoSIM di bawah kategori P3 dan P4 serta mempunyai lesen atau kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Selain itu juga, semua pengendali makanan wajib lengkap suntikan anti-tifoid dan telah menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan. Tempoh sah laku Pengiktirafan BeSS ini adalah tiga tahun.

“Dalam tempoh tiga tahun ini iaitu 2022 hingga 2024, sebanyak 191 premis telah mendapat Pengiktirafan BeSS, di mana pemantauan berkala dijalankan ke atas semua premis BeSS bagi memastikan semua keperluan Pengiktirafan BeSS dipatuhi,” katanya.

Hee Sem berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan komited untuk melindungi orang ramai daripada bahaya makanan sepanjang penyimpanan, penyediaan, pemprosesan pembungkusan, pengangkutan, penjualan dan penggunaan makanan serta memudahkan perdagangan makanan.

Menurut beliau, antara aktiviti yang dijalankan di lapangan adalah promosi keselamatan makanan, khidmat nasihat kepada industri makanan, pendidikan pengguna, pemeriksaan makanan, persampelan dan penguatkuasaan.

“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 23 November tahun ini, sebanyak 5,841 premis makanan telah diperiksa di seluruh Negeri Melaka dengan 1,933 notis kesalahan kebersihan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang bernilai RM320,900.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 49 premis makanan telah dikenakan tindakan penutupan selama tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Antara sebab penutupan yang paling utama ialah dapur premis terdapat urungan najis tikus, lipas dan pemeriksaan di bawah tahap kebersihan yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post MAMA TIGA ANAK ANTARA PEMINAT RXZ
Next post BUKA PELUANG MURID KETENGAHKAN IDEA INOVASI
Ubah saiz-+=