Sorting by

×

96 pemohon terima Notis 5A

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

REMBIA 6 Februari – Hasrat lebih enam tahun seramai 96 penduduk di Melaka Pindah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya untuk memiliki tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Semua 96 pemohon terbabit menerima surat kelulusan permohonan Tanah Kerajaan beserta Notis 5A yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, hasil komitmen Kerajaan Negeri dan semua pihak berkenaan permohonan jajaran tanah kerajaan atas Rizab Keretapi Tanah Melayu (KTM) itu akhirnya berjaya diselesaikan.

“Alhamdulillah, hari ini berlangsung penyempurnaan penyerahan surat kelulusan permohonan Tanah Kerajaan dan Notis 5A melibatkan 96 pemohon dari DUN Machap Jaya, bagi tanah kerajaan di Rizab Keretapi Tanah Melayu, Mukim Melaka Pindah Fasa 1.

“Permohonan tanah kerajaan ini bermula sejak enam tahun lepas lagi iaitu pada 2018, namun atas sebab-sebab tertentu proses dilaksanakan tertangguh. Usaha memberikan keselesaan kepada rakyat bagaimanapun diteruskan semula pada 2022 selepas selesai urusan pelantikan juru ukur pelan.

“Mewakili Kerajaan Negeri Melaka, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah serta semua yang terlibat kerana telah berjaya membantu proses permohonan ini sehinggalah diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (Notis 5A) (Rizab Keretapi) Mukim Melaka Pindah DUN Machap Jaya di PDT Alor Gajah, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel serta Pegawai Daerah Alor Gajah, Sabrina Thalas.

“Diharapkan kelulusan diterima membawa sinar baharu buat pemohon yang telah menunggu sekian lama. Ribuan terima kasih kepada para pemohon atas kesabaran dan kerjasama sehingga kelulusan ini selesai.

“Bukan sahaja boleh dijadikan tapak kediaman yang selesa, malahan, nilaian hartanah ini juga akan meningkat saban tahun bergantung kepada pembangunan semasa.

“Kerajaan Negeri akan berusaha dan memastikan setiap rakyat Melaka memperoleh hak yang selayaknya serta akan terus mementingkan kebajikan rakyat tanpa meminggirkan sesiapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2584
Kongsi :
Previous post TMM2024: Pengunjung mahu ke Taman Laut boleh hubungi ejen kembara MATTA Melaka.
Next post ‘Dah boleh bina rumah atas tanah sendiri’
Ubah saiz-+=