96 kontraktor G1 Melaka terpilih selenggara infrastruktur
AYER KEROH 4 Ogos – Seramai 96 kontraktor kelas G1 di negeri ini dipilih bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan membabitkan peruntukan bernilai RM4 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata kesemua kontraktor ini dipilih menerusi proses pengundian yang dijalankan bagi menjalankan kerja pembaikan longkang dan jalan yang mengalami kerosakan.
Beliau berkata, seramai lebih 900 kontraktor G1 di negeri ini mencuba nasib pada Majlis Cabutan Kerja Undi Perdana, bagaimanapun hanya 96 yang terpilih masing-masing 45 dari daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (26) dan Jasin (25).
“Kerja undi ini meliputi kerja berkala bukan ‘pavemen’ seperti kerja membaiki pembaikan longkang dan perabot jalan serta kerja berkaitan selain pelantikan mereka ini dapat mempercepatkan pelaksanaan kerja.
“Ini juga adalah hasil daripada peruntukan RM4 juta yang diperoleh dan ia akan memberi manfaat kepada rakyat sekali gus dapat menyelesaikan isu serta aduan yang dibuat oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Perdana Negeri Melaka 2022 yang turut dihadiri Pengarah JKR Melaka Datuk Ir Ismail Abd Rahman, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut mengingatkan kepada semua kontraktor yang terpilih agar dapat menjalankan kerja mengikut ketetapan selain menyiapkan dalam tempoh waktu diberikan.
“Kita harap 96 kontraktor ini supaya dapat laksanakan kerja diberikan dengan mematuhi waktu dan mutu kerja ditetapkan tanpa ada menimbulkan sebarang masalah.
“Malah mereka juga diminta agar dapat menjalinkan hubugan dengan pimpinan penduduk setempat kerana aduan diterima juga daripada rakyat jadi ia dapat memudahkan pelaksanaan kerja,” katanya.
Sementara itu Rahmad berkata, meskipun berlaku kenaikan harga kos bahan binaan namun pihaknya tidak menerima laporan membabitkan kes projek yang tertangguh atau berdepan masalah.
“Untuk kenaikan harga barang kita memahami situasi ini dan menjadi beban kepada kontraktor oleh itu di pihak JKR kita ambil inisiatif membuat sedikit kenaikan antara 20 hingga 30 peratus mengikut ketetapan kadar harga baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.