9,570 tentera, pasangan di Kem Terendak dan Kem Sungai Udang tunai tanggungjawab

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI UDANG 15 November -Seramai 9,570 pegawai dan anggota tentera di Kem Terendak dan Kem Sungai Udang serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di empat pusat mengundi, di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, 7,571 membabitkan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala 1,999 lagi pasangan mereka.

Empat pusat mengundi awal dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Terendak 1; SK Terendak 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terendak serta Dewan Borhan, Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang.

Terdahulu, tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan tentera dan pasangan masing-masing di SK Terendak 2 bermula seawal jam 8 pagi dengan dikawal ketat oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses itu dijangka tamat kira-kira jam 5 petang nanti.

Semua pengundi awal di kem berkenaan melaksanakan tanggungjawab bagi menentukan kerusi Parlimen Tangga Batu dan proses pengundian itu dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan pegawai dan anggota tentera serta pasangan masing-masing yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Melaka adalah seramai 10,097 orang.

Tiga lagi pusat mengundi yang dibuka selain Kem Terendak dan Kem Sungai Udang adalah di Bilik Gerakan 96 Depot Pusat Peluru Masjid Tanah, Dewan Sri Beruang dan Bilik Pusat Latih Palapes, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3301
Kongsi :
Previous post Undi awal IPK Melaka lancar
Next post Semangat Koperal Siti Nor Maslinda
Ubah saiz-+=