95 peratus guru tingkatan 5 dan 6 di Melaka terima dos pertama vaksin
AYER KEROH 2 Ogos – Hampir 95 peratus atau 3,151 guru tingkatan enam dan lima di negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama vaksin setakat hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik hasrat kerajaan dalam memastikan setiap guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sebelum sesi persekolahan bersemuka pada September depan.
Katanya, pihaknya memfokuskan pemberian vaksin kepada guru tingkatan lima dan enam terlebih dulu memandangkan mereka akan mengajar pelajar yang akan menduduki peperiksaan umum.
“Setakat ini hampir 95 peratus daripada 3,323 guru terbabit sudah menerima dos pertama vaksin dan kita menyasarkan sebelum sesi persekolahan bersemuka dibuka semua mereka sudah divaksin,” katanya dihubungi di sini.
Menurutnya, seramai 9,357 atau lebih 67 peratus daripada keseluruhan 13,894 guru di Melaka telah menerima suntikan vaksin pertama menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Jumlah guru yang telah melengkapkan suntikan ini masih rendah iaitu 26 peratus atau 3,613 orang.
“Manakala bagi guru tingkatan lima dan enam yang telah menerima dua dos suntikan vaksin mencapai kadar 28 peratus atau 905 guru sahaja setakat ini,” katanya.
Menurut Azam, sebanyak 50 peratus anggota perkhidmatan pelaksana (AKP) meliputi pekerja sekolah seperti pembantu makmal, kerani dan pekerja pembersihan di negeri ini juga telah mendapat suntikan pertama.
Katanya, pihaknya turut mencadangkan pelbagai langkah bagi mempercepatkan PICK dalam kalangan pendidik di Melaka seperti mana inisiatif ‘walk-in’ yang diambil kerajaan buat golongan sasar.
“Kita harap kerajaan boleh menyediakan satu laluan khas buat warga pendidik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan kesemua guru di Malaysia mampu menerima sekurangnya satu suntikan vaksin sebelum sekolah dibuka.
“Jabatan Pendidikan negeri juga menyambut baik sekiranya ada cadangan bagi memvaksin para pelajar di negara ini demi keselamatan mereka.
“Namun, ia juga tertakluk di atas keputusan kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin dilapor berkata, semua warga pendidik dan kumpulan sokongan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19 sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula secara berperingkat yang dijadual pada 1 September depan.
Katanya, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti bilangan guru, anggota pelaksana dan perkhidmatan kontrak untuk penjadualan janji temu dos pertama vaksin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.