Sorting by

×

95 peratus ‘frontliner’selesai terima dos pertama vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BUKIT KATIL 20 April. – Kira-kira 95 peratus petugas barisan hadapan selesai menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras program berkenaan Khairy Jamaluddin berkata, fasa pertama itu yang membabitkan seramai 571,000 orang penerima masih dijalankan dan ada masih menunggu giliran bagi mendapatkan dos suntikan kedua.

Bagaimanapun katanya, semua petugas barisan hadapan itu dijangka akan melengkapkan kedua-dua dos, sekali gus menamatkan program vaksinasi bagi fasa pertama selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

KHAIRY Jamaluddin (kanan) melawat warga emas yang menerima vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Daerah Melaka Tengah bagi fasa 2 di PPV Dewan Tun Ali, Bukit Katil. Foto: MR. Azli

“Sebagai contoh di Melaka, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Ali memaklumkan kepada saya, sebahagian besar daripada frontliner yang masih berbaki sedang menerima dos pertama.

“Bagi dos pertama, sekurang-kurangnya 95 peratus (frontliner) sudah selesai divaksin dan ada juga dalam proses untuk melengkapkan kedua-dua dos,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) masih menunggu senarai nama guru di sektor pendidikan awam dan swasta dari Kementerian Pendidikan bagi suntikan fasa kedua vaksin yang bermula semalam.

KHAIRY Jamaluddin (dua dari kiri) diiringi Rahmad (tiga dari kiri) mensantuni warga emas pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Daerah Melaka Tengah bagi fasa 2 di PPV Dewan Tun Ali, Bukit Katil, . Foto: MR. Azli

“Saya sudah meminta senarai nama, kad pengenalan bagi semua guru sama ada di sekolah pendidikan awam mahupun sekolah swasta serta sekolah antarabangsa.

“Bagaimanapun ia berdasarkan bekalan, kita cuba untuk memberi keutamaan golongan pendidik bersama kumpulan warga emas bagi fasa kedua, jadi saya masih menunggu senarai itu,” katanya.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata, lebih 500,000 guru di sektor pendidikan awam dan swasta akan disenaraikan sebagai penerima vaksin dalam fasa dua program berkenaan yang bermula semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

848
Kongsi :
Previous post Polis tahan tujuh pelacur warga Vietnam tawar khidmat guna MiChat, Facebook
Next post Kilang sarung tangan bakal buka 7,000 peluang pekerjaan untuk anak Melaka
Ubah saiz-+=