935,865 individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam
Menerusi akaun Twitternya hari ini, Dr Adham berkata seramai 1,647,183 individu pula telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,583,048 dos setakat semalam.
Dr Adham berkata lima negeri yang menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 126,462 dos diikuti Sarawak (92,261), Kuala Lumpur (90,514), Johor (83,728) dan Perak (78,940).
Setakat semalam, 45.60 peratus atau 11,069,418 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor terus mencatat jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 2,916,443 orang.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lalu melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.