924 kes penceraian di Melaka amat membimbangkan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) merekodkan sebanyak 924 kes penceraian rumahtangga telah didaftarkan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini di Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahman Mariman berkata, jumlah itu dilihat membimbangkan dan ia memerlukan semua pihak mengambil peranan bagi memastikan penceraian yang melibatkan perkara-perkara remeh perlu ditangani segera.

Jelasnya, daripada jumlah rekod berkenaan, Daerah Melaka Tengah mencatat rekod tertinggi sebanyak 549 kes manakala Daerah Alor Gajah sebanyak 219 kes dan Jasin sebanyak 156 kes.

“Perkara ini amat membimbangkan dan kesedaran masyarakat perlu dilipat ganda agara perkara ini tidak memberi kesan kepada anak-anak yang ditinggalkan ketika penceraian ini berlaku.

“Sementara itu, dalam tempoh sama sebanyak 136 kes rujuk didaftarkan di bawah JAIM manakala sebanyak 2,784 pernikahan telah didaftarkan di negeri ini.,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya di Seminar Pasangan Keluarga Bahagia Road to Jannah tahun 2023 diadakan di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JAIM, Ikraam Rosli dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAIM, Muhamad Sayuti Omar.

Terdahulu dalam seminar diadakan JAIM menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menerima penyertaan lebih 170 peserta membabitkan 85 pasangan suami isteri.

Program dianjurkan bagi memantapkan institusi kekeluargaan itu diserikan dengan perkongsian ilmu daripada beberapa penceramah bebas iaitu Datuk Mohd Kazim Elias, Haslin Baharim, Wan Akashah Wan Abd Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, penganjuran program itu sekali gus mampu mengukuhkan ilmu pengetahuan sesebuah keluarga selain mampu merapatkan hubungan mesra antara pasangan suami isteri.

“Kejayaan seseorang bermula daripada institusi kekeluargaan yang akan membentuk komuniti masyarakat cemerlang seterusnya membina sebuah negara yang maju dan berjaya.

“Manakala, kejayaan seorang suami disokong oleh isteri yang memahami. Begitu juga dengan kehebatan seorang isteri didukung oleh suami yang penyayang serta memiliki nilai tanggungjawab yang tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1189
Kongsi :
Previous post E-ID Awam dan MYJPJ mudahkan pengguna
Next post Lelaki ditemukan mati dalam teksi
Ubah saiz-+=