
92 MURID, PELAJAR BERENTAP PADA KEJOHANAN GOLF MSSNM
AYER KEROH 17 April – Seramai 92 peserta mewakili 41 buah sekolah rendah dan menengah berentap pada Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Negeri Melaka (MSSNM) berlangsung di Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, hari ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata kejohanan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lelaki dan perempuan bawah 12, 15 serta 18 tahun.
Rahmad yang juga Pengerusi AKCC Berhad kejohanan dianjurkan menjadi platform untuk mencungkil bakat muda dalam sukan golf selain turut memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan murid serta pelajar.
“AKCC menjadi tuan rumah kejohanan ini dengan hasil kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan UUM International School Melaka (UUMISM),” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Golf MSSNM di AKCC, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata diharapkan menerusi penganjuran kejohanan seumpama itu akan dapat melahirkan lebih ramai pemain-pemain golf berkualiti dari Melaka.
“Menerusi kejohanan ini saya lihat ia sebagai kaedah untuk menarik minat murid dan pelajar untuk menguasai permainan golf ini dan boleh bermain secara profesional satu hari nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.