Sorting by

×

92 ANAK-ANAK REMBIA TERIMA BANTUAN PERSEKOLAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

REMBIA 20 Januari – Riak wajah ceria jelas kelihatan di wajah 92 murid dari sembilan buah sekolah rendah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia apabila menerima bantuan persekolahan bernilai RM200 setiap seorang.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, bantuan persekolahan itu disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) kepada murid-murid daripada keluarga B40.

“Bagi sesi persekolahan 2025/2026 sejumlah RM18,400 diperuntukkan untuk DUN Rembia bagi disalurkan kepada 92 murid terpilih kurang berkemampuan.

“Mereka ini terdiri daripada murid dari sembilan buah sekolah iaitu sekolah kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang layak,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan, di Japerun Rembia, hari ini.

Menurut Fairul Nizam, inisiatif Kerajaan Negeri ini amat prihatin dalam meringankan beban ketua keluarga menyediakan kelengkapan anak-anak mereka sebelum sesi persekolahan bermula.

“Dengan bantuan ini, ibu bapa dapat membawa anak-anak mereka membeli kelengkapan persekolahan termasuk pakaian sekolah, kasut dan beg
di premis yang telah ditetapkan.

“Seperti semua sedia maklum kos hidup kini semakin meningkat justeru itu dengan bantuan ini ia dapat meringankan beban perbelanjaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

57
Kongsi :
Previous post HIASAN TAHUN BAHARU CINA GAMIT KUNJUNGAN ORANG RAMAI
Next post MPJ TERUS DEKATI KOMUNITI JASIN
Ubah saiz-+=