
900 ‘HERO’ PEMBERSIHAN MELAKA SEDIA BERKHIDMAT AIDILFITRI INI
BANDARAYA MELAKA 26 Mac – Bagi memastikan kebersihan Melaka terus terpelihara sepanjang musim perayaan, SWM Environment Sdn. Bhd. melaksanakan Operasi Khas Hari Raya bermula 28 Mac hingga 3 April depan.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, operasi berkenaan bakal melibatkan 900 tenaga kerja dan 146 unit jentera sepanjang operasi berkenaan berlangsung.
Menurutnya, tumpuan khas operasi adalah di 76 lokasi hotspot tong sampah berpusat di negeri ini dalam usaha mengawal longgokan sampah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Tumpuan diberikan kepada kawasan hotspot iaitu di 37 lokasi di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 14 lokasi di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), 19 lokasi di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta enam lokasi di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
“Alhamdulillah, jumlah hotspot tong sampah berpusat pada kali ini berjaya dikurangkan berbanding 78 lokasi tahun lalu.
“Hal ini membuktikan pengurusan sisa semakin baik dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat mengawal lmpahan sisa di lokasi-lokasi tong sampah berpusat di seluruh negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Taklimat dan Sidang Media Strategi Operasi Hari Raya dan Iftar SWM Environment Bersama Agensi Rakan Strategik dan Media 2025 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka Nor Zaki Md Nor.
Menurut Mohd Norlisam, fasa strategi hari raya tahun ini turut memberikan tumpuan kepada operasi berjadual sisa domestik dan pukul, operasi pembersihan di pusat bandar, pantai, tempat awam, medan selera, pasar awam dan tandas awam.
“Bagi Operasi Kompaktor, jadual operasi akan diawalkan bermula jam 12 tengah malam pada malam hari raya pertama dan kedua manakala bagi Operasi Roro/Tipper memulakan operasi membuat kutipan pada hari Ahad (30 Mac) bagi jadual hari Isnin (31 Mac) sebelum mengikut jadual seperti biasa bermula Selasa (1 April),” katanya.
Beliau turut mengharapkan kerjasama dan sokongan semua pihak agar operasi yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan teratur.
“Orang ramai disarankan agar tidak menghalang laluan kenderaan, mengasingkan sisa makanan dan sisa yang boleh dikitar semula dan memanfaatkan perkhidmatan kutipan +1 seminggu sekali bagi pelupusan sisa pukal, sisa taman dan barangan kitar semula.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau Talian WhatsApp SWM Environment di 012-618 0082,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.