Sorting by

×

90 kompaun, 4 hari PKP 2.0

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 17 Jan – Polis Melaka mengeluarkan 90 kompaun atas pelbagai kesalahan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak ia dikuatkuasakan Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, antara kesalahan lazim dilakukan orang awam adalah tidak memakai pelitup muka dan pemilik premis tidak menyediakan buku catatan untuk merekod kedatangan dan suhu pelanggan.

Katanya, semua kompaun itu dikeluarkan ketika anggota polis membuat rondaan di lapangan termasuk di premis perniagaan.

“Belum ada kompaun dikeluarkan menerusi sekatan jalan raya (SJR) sebaliknya kompaun dikeluarkan di kawasan lapangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan pemeriksaan SJR di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Turut hadir, Komander Artileri 3 Division, Brigadier Jeneral Datuk Noor Sazali Puteh dan Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brigadier Jeneral Datuk Yusof Jantan.

Sharul Lalli menjawab pertanyaan media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, beliau berkata, selama empat hari pelaksanaan PKP 2.0, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap 17,392 kenderaan di 15 SJR membabitkan laluan keluar masuk daerah dan negeri.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 74 kenderaan diarah supaya berpatah balik kerana memberikan alasan tidak munasabah untuk meneruskan perjalanan selain tidak mempunyai kebenaran polis dan tidak menunjukkan bukti berkaitan kes kecemasan.

“Setakat semalam, kadar pematuhan rakyat di negeri Melaka kira-kira 95 peratus.

“Agak sukar untuk menilai kepatuhan berbanding PKP pertama kerana kegiatan ekonomi masih dibenarkan beroperasi.

“Namun, jika dilihat sekarang jam 10 malam jalan raya lengang dan ini menunjukkan orang ramai patuh kepada arahan dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Sharul Lalli berkata, setakat semalam, pihak polis memberikan kelulusan terhadap 1,596 surat merentas daerah dan negeri bagi tujuan kecemasan.

Katanya, antara kelulusan itu termasuk atas urusan penghantaran anak ke institut pengajian tinggi (IPT), asrama sekolah, aktiviti kebajikan serta mendapatkan rawatan perubatan di hospital di luar Melaka.

Views:

795
Kongsi :
Previous post Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus, status ‘waspada’
Next post Pejabat MHI disanitasi kali kedua
Ubah saiz-+=