Sorting by

×

9 PRODUK PELANCONGAN MELAKA TAWAR KEMASUKAN PERCUMA PADA 20 FEBRUARI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 2 Februari – Sekurang-kurangnya sembilan produk pelancongan bakal menawarkan kemasukan percuma kepada rakyat Melaka dan pelancong pada 20 Februari ini.

Ia bersempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Banda Hilir pada tanggal 20 Februari 1956.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sembilan produk itu merupakan antara pengusaha yang telah mengesahkan tawaran istimewa itu dan beliau yakin jumlah tersebut akan terus bertambah dengan penglibatan pihak swasta.

Jelas beliau, antara tempat pelancongan yang bersetuju menawarkan insentif istimewa itu adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka dan muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

“Seperti tahun lepas, kita meneruskan insentif produk pelancongan pada 20 Februari ini bagi membolehkan rakyat Melaka dan pelancong menikmati tarikan yang ada secara percuma.

“Ini secara tidak langsung menjadi salah satu usaha kita mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di Melaka dan diharap syarikat pelancongan swasta turut bersama menyertai inisiatif ini dalam usaha memperkenalkan lagi produk mereka kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025 di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak memaklumkan, mekanisme penebusan tiket percuma itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kita akan umum secara lengkap cara penebusan (tiket percuma) sebaik sahaja mendapat keputusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post BANDA HILIR ‘TAK RILEKS’, ‘FULL HOUSE’
Next post MELAKA TAWAR SYARIKAT PENERBANGAN INDONESIA ‘MENDARAT’ DI LTAM