Sorting by

×

9 penyanyi amatur berentap rebut gelaran juara

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 5 Ogos – Seramai sembilan finalis terdiri daripada kakitangan awam dan swasta berentap merebut gelaran juara dalam Pertandingan Akhir Bintang Gemerlapan Irama Malaysia 2024 diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.

Pengarahnya, Ezlina Alias berkata pertandingan diadakan kali ini telah mencipta kelainan apabila membuka penyertaan itu kepada golongan pekerja bagi mencungkil bakat dalam bidang nyanyian.

Jelasnya, pertandingan diadakan dengan kerjasama sebuah syarikat produksi tempatan itu mendapat sambutan hebat yang bukan sahaja disertai orang Melaka malah turut menerima penyertaan daripada Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

“Pertandingan ini merupakan julung kali diadakan meskipun sebelum ini ia hanya melibatkan penyertaan golongan remaja namun kita ubahnya untuk mencari penyanyi amatur dari golongan berusia 25 tahun ke atas.

“Kira-kira 40 peserta melalui peringkat saringan diadakan sejak Julai lalu dan kali ini kita mempertandingkan sembilan finalis terdiri dari empat wanita dan lima lelaki untuk mencungkil bakat mereka dalam kategori Irama Malaysia.

“Pertandingan ini dibuka kepada mereka yang bekerja dan mempunyai bakat untuk ditengahkan dan yakin ini merupakan salah satu platform untuk mereka membuktikan keyakinan dan bakat dalam bidang nyanyian terutama dalam lagu klasik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan pertadingan diadakan itu, di JKKN Melaka, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya komited akan menjadikan pertandingan itu sebagai antara acara pertandingan tahunan seperti dalam kategori remaja yang sering dianjurkan.

“Kita lihat mereka ini selain bekerjaya dalam bidang masing-masing kita nampak bakat yang mereka ada ini boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Meskipun kita hanya membuka satu kategori iaitu Irama Malaysia sahaja pada kali ini ia kekal menerima sambutan dan membuktikan irama ini masih relevan meskipun seni muzik semakin berkembang mengikut peredaran zaman.

“Insyallah kita akan meneruskan pertandingan seperti ini dengan beberapa penambahbaikan di mana kita akan memperluaskan lebih banyak skop bidang pekerjaan seperi sektor perbankan, penjawat awam serta pelbagai lagi,” katanya.

Terdahulu, dalam pertandingan itu, juara bagi kategori lelaki telah disandang oleh Muhamad Hazrul Mazalan yang mendendangkan lagu bertajuk Joget Jangan Dikenang melayakkannya menerima trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000

Manakala, bagi kategori wanita, juara menjadi milik Nurul ‘Aien Muhamed Kamal dengan nyanyian lagu bertajuk Sireh Pinang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post Promosi Bible: Lapor segera jika berlaku lagi
Next post 26 Ogos hari kelepasan am tambahan Melaka
Ubah saiz-+=