Sorting by

×

9 KAWASAN ‘TERNAK’ AEDES DIGEMPUR DI TAMAN BERTAM JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PAYA RUMPUT 15 Februari – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka berjaya menemui sembilan kawasan pembiakan luar nyamuk Aedes dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Taman Bertam Jaya, di sini, baru-baru ini.

Operasi itu disertai 55 keanggotaan termasuk dari Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Japerun Paya Rumput dan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Taman Bertam Jaya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, operasi itu dijalankan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput merekodkan bilangan kes demam denggi tertinggi dikesan dalam daerah Melaka Tengah iaitu sebanyak 229 kes.

Beliau yang mengetuai operasi berkenaan memaklumkan, beberapa penemuan telah dikenal pasti berkait isu wabak berulang di lokaliti itu, antaranya, kewujudan kebun haram, tapak pembuangan sampah haram dan kandang haiwan peliharaan atau ternakan dengan menceroboh rentis talian Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tanah rizab MBMB.

Selain itu, katanya, ada segelintir penduduk turut menjadikan laluan belakang rumah sebagai tempat pengumpulan bahan lusuh dan sampah sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Susulan itu, beberapa tindakan telah diambil termasuklah pemusnahan tempat pembiakan, selain dua notis pembersihan telah dikeluarkan kepada dua pemilik kebun haram di kawasan ini.

“Saya turut mengadakan temu seru dan memberi nasihat serta teguran kepada pemilik rumah bagi memastikan persekitaran lokaliti ini bersih dan tidak sesuai bagi pembiakan nyamuk Aedes.

“Pada masa sama, aktiviti pencegahan dan kawalan denggi akan diteruskan di lokaliti ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian wabak demam denggi di sini kerana terdapat sejarah wabak demam denggi berulang dan hotspot di lokaliti ini,” katanya.

Mengulas status demam denggi di Negeri Melaka, Hee Sem memaklumkan sepanjang tahun 2024, sebanyak 2,203 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini, selain turut merekodkan dua kematian.

Menurut beliau, jumlah itu sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri yang paling tinggi mencatatkan kadar peningkatan kes demam denggi di Malaysia iaitu sebanyak 80.4 peratus.

Beliau bagaimanapun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan denggi secara berkala dan berterusan bagi mengawal peningkatan kes demam denggi di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post MBMB ‘PAYUNG’ 600 PELAJAR GUNTING RAMBUT PERCUMA
Next post TRAGEDI BOT TERBALIK: MAYAT PEMUDA DITEMUI