Sorting by

×

85 JUADAH DIHIDANGKAN DI SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BUKIT PALAH 31 Mac – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat kebangsaan yang diadakan di Melaka pada 5 April ini bakal menyajikan lebih 80 jenis juadah hari raya untuk pengunjung.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad berkata, majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh itu akan bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Katanya, majlis itu akan turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah menteri Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.

“Untuk majlis rumah terbuka pada ini sebanyak 85 jenis hidangan termasuk nasi beriani dan makanan ikonik Melaka akan disediakan kepada pengunjung.

“Malah setiap negeri terlibat dengan Sambutan Aidilfitri Madani ini juga akan menyediakan juadah tradisi masing-masing seperti Johor menyediakan Laksa Johor, Sarawak pula mi kolok, Negeri Sembilan rendang maman dan Selangor pula akan sediakan punten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat sunat Aidilfitri yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Menurut Azhar, persiapan bagi majlis berprestij itu berjalan dengan lancar dan berada dalam keadaan baik.

“Sehingga kini persiapan kita untuk menjadi tuan rumah sudah 80 peratus termasuk dari segi logistik, segala persiapan sedang giat dijalankan dan berjalan lancar.

“Malah persiapan daripada pihak polis juga berada dalam keadaan baik cuma yang tinggal hanya makanan selain hiasan tambahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjemput orang ramai khususnya rakyat Melaka untuk memeriahkan sambutan berkenaan yang akan turut diwarnai dengan persembahan artis popular tanah air.

Antara artis yang dijemput membuat persembahan adalah Anuar Zain, Hazama, Zamani dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1138
Kongsi :
Previous post DUN PAYA RUMPUT BUKA TIRAI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA
Next post LELAKI DIKHUATIRI LEMAS DI LAMAN TIGA BUDAYA