8,455 PENUMPANG TIBA DI LTAM SEJAK 23 OKTOBER
SERI NEGERI 30 Disember – Pembukaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAM) Batu Berendam menerusi penerbangan syarikat tambang rendah milik Singapore Airlines, Scoot Private Limited (Scoot) telah merekodkan 8,455 penumpang ke negeri ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah itu membabitkan seramai 943 penumpang pada Oktober, 3,875 penumpang pada November dan 3,637 penumpang setakat 25 Disember tahun ini.
“Pada Oktober tahun ini, (penumpang) 23 buah negara telah direkodkan tiba di LTAM, diikuti 45 buah negara pada November dan 37 negara tiba dan 37 negara tiba pada Disember.
“Jumlah ini menunjukkan kehadiran dunia ke Melaka menerusi LTAM daripada penerbangan Scoot dari Singapura ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hameed memaklumkan, sejak 23 Oktober tahun lalu, Scoot telah memulakan operasi di LTAM dengan kekerapa lima kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Disebabkan sambutan yang amat menggalakkan pada penghujung tahun, penerbangan tambang rendah itu turut menambah dua lagi penerbangan tambahan ke LTAM iaitu pada Sabtu dan Ahad lalu sempena Hari Krismas dan tahun baharu 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.