80 peniaga terjejas ribut, MBMB ambil tindakan pantas bantu pembersihan

Masa Membaca:54 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil langkah pantas membersihkan lokasi tumpuan pelancong yang dilanda ribut, malam tadi.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata dua lokasi tumpuan itu adalah Uptown Pahlawan Walk dan Uptown Pantai Klebang.

Katanya, angin kuat dan hujan lebat berterusan mengakibatkan beberapa khemah peniaga rosak di kedua-dua lokasi terjejas.

“Di Uptown Pahlawan Walk, dianggarkan lebih 30 peniaga yang terjejas membabitkan pelbagai jenis perniagaan, ada yang khemah patah terus.

“Manakala di Uptown Pantai Klebang pula membabitkan lebih 50 peniaga. Di Klebang agak terjejas teruk kerana faktor berhampiran dengan pantai.

“Bagaimanapun kerja-kerja pembersihan telah dilakukan yang mana malam tadi kira-kira 50 kakitangan MBMB membantu membersihkan kedua-dua lokasi ini dan hari ini peniaga boleh meniaga seperti biasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan yang turun padang ke lokasi dilanda bencana itu turut dimaklumkan mengenai kebimbangan peniaga jika cuaca buruk berterusan selama beberapa hari.

Justeru, Shadan berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan dan tindakan pantas membersihkan kawasan terjejas akan menjadi keutamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

189
Kongsi :
Previous post Senyuman Tun Dr. Mohd Ali beri aura positif
Next post Sisi-sisi penyayang Tun Dr. Mohd Ali
Ubah saiz-+=