Sorting by

×

8 TERMASUK 3 WANITA DIPERCAYAI PENGIKUT ‘MILLAH ABRAHAM’ DITAHAN DI JASIN

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

JASIN 28 November – Seramai lapan individu dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham telah ditahan dalam serbuan di empat buah rumah di daerah Jasin, tengah malam tadi.

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 28 hingga 72 tahun ditahan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan itu dilakukan selepas menerima aduan awam yang memaklumkan terdapat penyebaran dan pengamalan ajaran Millah Abraham yang telah difatwa dan diwartakan di Negeri Melaka sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurut beliau, mereka yang ditahan adalah lima lelaki dan tiga wanita di mana, enam daripadanya pasangan suami isteri dan dua lagi merupakan lelaki bujang yang merupakan pesara kerajaan, pekerja swasta, bekerja sendiri dan suri rumah sepenuh masa.

“Dalam penggeledahan yang dijalankan, terdapat banyak barang kes telah disita dan dirampas, antaranya buku berkaitan ajaran Millah Abraham seperti Ruhul Qudus Eksistensi dan Esensi Al-Quran, Jalan Kebenaran Universal, Renungan Spiritual, Membaca Alam Membaca Zaman dan lain-lain.

“Selain itu, peralatan elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit turut dirampas untuk tujuan forensik digital,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan.

Jelas Rahmad, hasil soal siasat yang dijalankan ada di antara mereka yang ditahan mengaku telah beberapa tahun tidak menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.

Malah, dipercayai pengajian pengikut ajaran tersebut juga dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu dan mereka juga aktif untuk merekrut ahli baharu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan.

“Kesemua Orang Yang Disyaki (OYDS) disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu Menghina Agama Islam Dengan mengingkari atau Melanggar Fatwa Yang Telah Diwartakan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu kesemua OYDS juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 Enakmen yang sama iaitu kesalahan ajaran salah dan Seksyen 48 iaitu kesalahan penerbitan agama yang berlawanan dengan Hukum Syarak,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek menasihati semua masyarakat Islam khususnya yang berada di Negeri Melaka agar menjauhi mana-mana fahaman atau ajaran yang telah difatwakan dan diwartakan sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

“Sehubungan itu umat Islam hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal al-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang ajaran sesat di Negeri Melaka dimohon supaya melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) agar akidah umat Islam sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post PEMANDU, DUA PENUMPANG RENTUNG KERETA REMPUH TEMBOK JAMBATAN
Next post SEDIA PERKHIDMATAN LIMA BINTANG UNTUK RAKYAT
Ubah saiz-+=