Sorting by

×

8 TERAS BUAT PENJAWAT AWAM, BINA MASA DEPAN MELAKA GEMILANG

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menggariskan lapan perkara sebagai teras buat penjawat awam untuk diambil perhatian.

Beliau berkata, menerusi lapan teras itu penjawat awam akan berpegang kepada prinsip memangkin pembangunan yang terancang dan seterusnya membina masa depan Melaka lebih gemilang.

Menurut beliau, teras pertama adalah berkaitan isu banjir di mana pemantauan secara serius perlu dilakukan terhadap kemajuan fizikal projek bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut tarikh kontrak.

Katanya, teras kedua membabitkan inisiatif Bajet 2025 Negeri Melaka yang telah dibentangkan agar dapat dilaksanakan dengan sistematik dan berkesan bagi memastikan impak manfaatnya segera sampai kepada semua rakyat Melaka.

Jelas beliau,kesemua inisiatif bajet tersebut perlu dilaksanakan seberapa pantas dengan mengatur jadual agihan mahupun pelaksanaan program supaya menepati masa yang dirancang.

“Teras ketiga, semua jabatan dan agensi terbabit perlu memastikan infrastruktur dan kemudahan di kawasan masing-masing berfungsi dengan baik.

“Antaranya, setiap lampu jalan raya terutama di kawasan persimpangan dan laluan kampung dapat diselenggara dengan baik; jalan raya berlubang perlu diturap; tiada gangguan bekalan air dan bekalan elektrik, selain aduan berhubung haiwan ternakan berkeliaran pada waktu malam yang mana inisiatif mendigitalkan haiwan ternakan melalui kod QR perlu disegerakan.

“Manakala, teras keempat adalah seruan kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan penglibatan antara satu sama lain dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dan tidak lagi bekerja secara ‘silo’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menerusi teras kelima, beliau mahu semua penjawat awam sentiasa memperhebat kecekapan perkhidmatan selaras dengan tatakelola yang cemerlang.

Manakala teras keenam pula ujar beliau, peranan semua ketua jabatan harus dipertingkatkan daripada satu corak kepimpinan sederhana kepada kepimpinan yang holistik dan jitu.

“Teras ketujuh adalah membudayakan amalan turun padang dalam kalangan penjawat awam untuk dengar dan melihat sendiri rintihan rakyat sehingga ke akar umbi serta membuat rumusan yang tepat mengenai kaedah penyelesaian masalah.

“Manakala teras terakhir, segala yang dirancang dalam Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) dapat dilaksana dengan cekap dan efisien,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

95
Kongsi :
Previous post PASTIKAN INISIATIF BAJET 2025 MELAKA SAMPAI KEPADA RAKYAT – KM
Next post MELAKA HAB EKONOMI DINAMIK 2025
Ubah saiz-+=