8 ‘port’ swafoto menarik di Melaka
MENJADI sebagai antara destinasi pelancongan terkenal dunia, Melaka menawarkan pelbagai tempat menarik untuk bergambar.
Sesuai dengan ‘tagline’ Mana Lagi, Melaka Ler, terdapat banyak lokasi yang boleh dijadikan ‘port’ untuk pelancong berswafoto.
Kali ini, Melaka Hari Ini menyenaraikan lapan lokasi menarik yang boleh dijadikan sebagai tempat mengabadikan kenangan bersama keluarga dan sahabat handai….
1. Pesisir Sungai Melaka
Seakan-akan berada di Venice, Itali. Itulah keunikan Sungai Melaka yang menjadi destinasi pelancongan pilihan bagi pengunjung dan pelancong. Selain menikmati pengalaman menelurusi Sungai Melaka, tahukah anda, terdapat lukisan mural sepanjang kira-kira 200 meter yang boleh dijadikan tempat untuk bergambar?
Ya, itulah yang boleh anda terokai sekiranya mengambil peluang bersiar-siar di pesisir Sungai Melaka. Lukisan mural itu menampilkan pelbagai tema berkonsepkan moden, hipster dan berwarna-warni yang menjadi pilihan kepada setiap pengunjung terutama generasi muda.
2. Jonker Walk
Terletak di tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Disebebkan keunikan seni bina yang masih terpelihara, ia juga menjadi antara lokasi terbaik untuk bergambar.
Selain bergambar, jangan lupa singgah ke kedai-kedai cenderamata yang terdapat di sini. Pelbagai jenis oleh-oleh boleh dibawa pulang.
3. Taman Seribu Bunga
Taman Seribu Bunga yang terletak di Ayer Keroh juga menjadi antara lokasi menarik untuk bergambar. Selain dikelilingi pelbagai jenis bunga, turut disediakan ialah port untuk bergambar bertemakan ‘Outfit Of The Day’ (OOTD).
4. Gerbang Cahaya MBMB
Satu lagi port selfie dan OOTD di Melaka ialah Gerbang Cahaya yang terletak di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Gerbang berkonsepkan poligon itu diperbuat daripada ‘mild steel’ dan lampu Led Neon Glexi RGB, ia juga berfungsi sebagai ‘step sensor’ yang mana warna akan berubah apabila dipijak di atas plat tersebut.
5. Taman Cahaya Dataran Sejarah
Dataran Sejarah Ayer Keroh menjadi lokasi ‘wajib singgah’ buat pengunjung yang memasuki Melaka dari Plaza Tol Ayer Keroh. Kawasan ini mempunyai tarikan seperti Taman Kelip-Kelip (Firefly Park Garden) yang akan menyinari malam di dataran itu.
Konsep taman cahaya dipilih khusus bagi pengunjung datang beriadah bersama keluarga dan mengambil gambar kenang-kenangan.
6. Laman Belia Sungai Rambai
Laman Belia Sungai Rambai merupakan kawasan yang terletak di selatan Negeri Melaka dan bersempadan dengan Negeri Johor. Pelbagai tarikan yang ada di sini antaranya jambatan gantung, selain hiasan lampu bewarna-warni yang menceriakan pengunjung.
Kawasan ini juga boleh dijadikan salah satu port ‘healing’ sambil menikmati kehijauan Sungai Kesang.
7. Stairway To Heaven Pengkalan Balak
Terletak di Pantai Pengkalan Balak dan Sungai Tuang, binaan ‘Stairway To Heaven’ merupakan arca yang dibangunkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebagai ‘port’ bergambar.
Keunikan seni binanya membuatkan kawasan itu menjadi antara lokasi pilihan untuk keluarga bergambar selain bermandi-manda di pantai.
8. Masjid Selat
Selain rumah ibadah, Masjid Selat di Pulau Melaka juga menjadi antara lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Mana tidaknya, masjid separa terapung itu menawarkan panorama indah untuk bergambar sambil menghadap Selat Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.