Sorting by

×

8 PASUKAN BERENTAP REBUT PIALA KETUA MENTERI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 2 November – Sebanyak lapan pasukan berentap dalam perlawanan bola sepak Sukan Melaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, bagi merebut Piala Ketua Menteri Melaka.

Selain memupuk budaya hidup sihat, perlawanan itu juga menjadi gelanggang bagi mencari pemain dan pasukan terbaik untuk mewakili DUN Tanjung Bidara pada penganjuran Sukan Melaka edisi akan datang.

Penganjuran itu turut menarik perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turun padang menyaksikan perlawanan berlangsung di Padang Bola Sepak Seri Jeram, Masjid Tanah, hari ini.

Selain bertanya khabar, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, turut memberikan kata-kata semangat kepada pasukan mengambil bahagian dan berharap aktiviti sedemikian terus mendapat sokongan dalam kalangan belia khusus di DUN berkenaan.

Sementara itu Pengarah Pertandingan Rizwan Ihsan berkata, secara keseluruhan penganjuran itu membabitkan lebih 100 pemain, pegawai dan jurulatih mewakili pasukan yang antaranya adalah Idaman Jaya, Jeram, Padang Kemunting dan Hujung Padang.

“Format perlawanan adalah secara karnival dengan dua venue iaitu di padang Seri Jeram dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra berlangsung hari ini serta esok.

“Insya-Allah esok akan berlangsung perlawanan separuh akhir dan final di Padang Seri Jeram, jadi kepada semua dijemput hadir beramai-ramai bagi menyaksikan perlawanan ini,” katanya yang ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri menyantuni pasukan yang mengambil bahagian.

Hadir sama adalah Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1294
Kongsi :
Previous post PUNCAK LAKSAMANA MERCU TANDA BAHARU MELAKA
Next post MELAKA MAHU AKTIFKAN SEMULA PENERBANGAN KE PEKANBARU
Ubah saiz-+=