8 BIDANG, RENCANA STRATEGIK PEMBANGUNAN MELAKA
BANDARAYA MELAKA 28 Oktober – Usaha kearah menerajui Melaka sebagai sebuah negeri lestari menjelang tahun 2035 menekankan kepada keseimbangan aspek pembangunan ekonomi dan sosial sebagai pemangkin utama untuk mencapai impak berkesan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri telah merangka dan meneliti pelbagai strategi ampuh dalam merancang pembangunan lebih inklusif berorientasikan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 dengan menekankan beberapa aspek penting seperti; Kesejahteraan Rakyat, Kelestarian Pertanian, Pelaburan, Digitalisasi, Pelancongan, Pendidikan, Infrastuktur dan Pengurusan Air.
Ab Rauf berkata, turut disusun adalah rencana strategik pembangunan Melaka mencakupi lapan bidang utama iaitu pertama Pusat Kecemerlangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET Center Of Excellence); kedua Memperkasa sektor pelancongan; ketiga Membudayakan Seni, Budaya dan Warisan Melaka serta keempat Memposisi Melaka sebagai negeri Mesra Pelabur.
“Kelima pula Kecekapan perkhidmatan awam yang berkesan kepada rakyat; keenam Menyegerakan digitalisasi 4G dan 5G; ketujuh Meningkatkan prestasi anak syarikat kerajaan negeri; manakala kelapan Memperkasa inisiatif pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya yakin, dengan memfokuskan kepada kelapan-lapan bidang keutamaan ini bakal menjana ke arah pembangunan yang terancang, sekali gus memberi limpahan kemakmuran kepada pertumbuhan ekonomi dan seterusnya rakyat bakal menikmati hasilya,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bersama Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama pada sesi itu adalah Ketua Menteri Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Menteri Ekonomi Rafizi Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, usaha itu juga mampu melonjakkan daya saing aliran masuk pelaburan di negeri ini sejajar dengan haluan dasar menjayakan RMKe13.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.