8.7 juta pelancong ke Melaka setakat Julai

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Inisiatif Kerajaan Negeri dalam memeta pelancongan Melaka di mata dunia membuahkan impak positif apabila berjaya mencatatkan kemasukan pelancong seramai 8.7 juta orang sehingga Julai 2024.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu 76.16 peratus adalah pelancong domestik manakala selebihnya adalah pelancong asing.

“Dalam usaha menggerakkan ekonomi rakyat, sekali gus merancakkan lagi sub sektor pelancongan negeri, Melaka berjaya meluncurkan tiga edisi produk Melaka Bila Larut Malam.

“Daripada tiga edisi iaitu pada Jun, Julai dan Ogos seramai lebih 50,000 pengunjung direkodkan memeriahkan program selain Bila Larut Malam pada September akan diadakan pada 31 Ogos ini bersempena Sambutan Kemerdekaan ke-67,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan taat setia sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang, Dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2024 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Dewan Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri Melaka juga turut memberi kemasukan percuma ke lima lokasi pelancongan bagi meraikan sambutan Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Tun Dr. Mohd Ali.

“Kerajaan Negeri Melaka berbesar hati menghadiahkan kemasukan tiket percuma di lima lokasi pelancongan bermula 24 Ogos sehingga 31 Disember 2024 kepada rakyat Melaka serta mereka yang menetap di negeri ini.

“Sejak dibuka semalam, lebih 2,000 rakyat Melaka telah menebus tiket dengan tatacara kaedah penebusan tiket percuma menerusi laman sosial rasmi Kerajaan Negeri Melaka Channel Telegram MyMelaka News, semoga inisiatif ini memberi kegembiraan buat sekalian rakyat Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

87
Kongsi :
Previous post Cadangan Melaka wujud Koridor Ekonomi Anjung Selatan diharap disenaraikan bawah RMK13
Next post ‘Penternak kupang terjejas akan dibantu’
Ubah saiz-+=