7,601 kertas undi pos dikeluarkan bagi PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 10 Nov – Sebanyak 7,601 kertas undi pos telah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu meliputi 6,871 kategori Borang 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

Sebanyak 511 kertas undi pos bagi kategori Borang 1B dikeluarkan membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 113 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) serta 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.

Kertas undi pos berkenaan dikeluarkan mengikut peruntukkan di bawah peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

“Pengeluaran kertas undi pos pada 9 Nov (Selasa) dijalankan oleh petugas pilihan raya di semua 28 kawasan DUN,” katanya.

Ikmalrudin berkata proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“Semua pengundi pos diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi 20 Nov (Sabtu).

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1183
Kongsi :
Previous post MPHTJ lakar sejarah, terima Anugerah Penghargaan Bandar Mampan 2021
Next post Pastikan biru original, jangan cetak rompak
Ubah saiz-+=