
75 PASUKAN PERUBATAN DITUGASKAN SEMPENA SAMBUTAN MERDEKA MELAKA
BANDA HILIR 30 Ogos – Seramai 75 anggota perubatan membabitkan pelbagai agensi akan ditugaskan di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka, esok.
Ia membabitkan pasukan perubatan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan St John Ambulans Malaysia.
Ketua Jabatan Perubatan St. John Ambulance Malaysia Kawasan Melaka Tengah Saiful Nizam Sairi berkata, pihaknya turut dibantu petugas dari Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Paramedik Komuniti Melaka, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan hospital swasta.
“Kesemua anggota dan pasukan perubatan terlibat akan bersiap seda untuk memberikan perkhidmatan terbaik, termasuk bantuan awal sekiranya berlaku kes-kes kecemasan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan U36 MBMB Zainal Haris Mazlan berkata, selain pasukan perubatan, sebuah ‘ambulans buggy’ turut disediakan sepanjang majlis berlangsung.
“Perkhidmatan ambulans buggy ini akan beroperasi sepanjang perarakan dan perbarisan berlangsung bermula jam 8 pagi.
“Ia disediakan bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya berlaku kes-kes kecemasan, selain mudah digerakkan di laluan yang sempit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.