75 murid asnaf, anak yatim dapat baju raya

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 4 April – Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang (SKJDP) berkongsi rezeki dengan menghadiahkan pakaian raya kepada 75 anak muridnya dalam kalangan asnaf dan anak yatim.

Guru Besarnya, Rosmi Abdul Rasid berkata setiap murid diberikan peluang untuk memilih pakaian sendiri di pasaraya mengikut tema keluarga mereka bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

“Alhamdulillah kita bawa seramai 75 anak-anak asnaf dan yatim untuk membeli kelengkapan Aidilfitri, (yang mana) setiap murid kita peruntukan RM100. Bagi murid lelaki mereka dapat baju Melayu dan sampin, manakala perempuan baju kurung dan tudung.

“Kali ini ramai ibu bapa, orang perseorangan dan korporat yang membantu menyalurkan sumbangan atau dana untuk kita beli pakaian kepada anak-anak ini.

“Terima kasih juga kepada Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Bukit Baru yang menyediakan dua bas secara percuma untuk membawa anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas Program Sumbang Kasih Pembelian Pakaian Raya Kepada Murid Asnaf dan Yatim SKJDP Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di sebuah pasaraya di sini, hari ini.

Katanya, jumlah penerima sumbangan tahun ini lebih ramai berbanding tahun lepas hanya seramai 50 murid-murid.

“Alhamdulillah disebabkan tahun ini kita dapat dana lebih, jadi lebih ramai anak-anak murid yang menerima sumbangan, diharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Semua murid-murid ini daripada keluarga yang susah, kalau kita tidak belikan baju raya mungkin mereka akan pakai baju yang lama, jadi bila ada sumbangan dapat lah mereka beraya tahun ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1794
Kongsi :
Previous post Polis Perak rampas dadah bernilai RM5.5 juta, tahan empat suspek
Next post ‘Terima kasih cikgu belikan baju raya’
Ubah saiz-+=